Wednesday 22 June 2016

BAB 10 JODOH DARI HATI

“Betapa banyak amalan yang kecil menjadi besar kerana sebab niat. Dan betapa banyak amalan yang besar menjadi kecil kerana sebab niat.”
~Ibnu Mubarak~

HUJUNG MINGGU ITU, seperti yang dijanjikan Faiz, dia berkunjung ke rumah Puan Suraya. Ada niat dan hajat yang ingin disampaikan. Ada langkah yang harus diarah ke hadapan. Dalam hatinya, tak putus doa dikirimkan.

Faiz yakin niat yang baik pasti Allah permudahkan. Niatnya untuk bertaaruf dengan Irdina hanya satu. Dia mahu jadikan Irdina sebagai yang halal untuknya. Dia mahu melengkapkan separuh dari agamanya. Tapi seteliti manapun perancangan dia, Faiz tahu perancangan-Nya lebih baik. Usaha ini hanya sebagai langkah awal sahaja. Selebihnya dia bertawakal kepada Allah.

            Toyota Camry berwarna putih itu diparkir di luar kawasan rumah dua tingkat itu. Faiz memerhati rumah itu, kalau seperti location yang diberi oleh Puan Suraya melalui applikasi Whatsapp memang benarlah ini rumahnya.

            Dari dalam kereta, rumah dua tingkat yang berwarna hijau itu diperhati lama, melihat halaman rumah yang cantik dihias, Faiz yakin penghuninya sangat sukakan kedamaian. Cantik halaman rumah itu dihias dengan pelbagai bunga dan pokok. Ada gazebo dan buaian berwarna putih di luar rumah. Air terjun buatan manusia itu juga nampak cantik terletak di tengah laman itu. Nature dan nampak tenang.

            Enjin kereta dimatikan dan dia melangkah keluar. Dia berdiri lama di luar rumah dan lantas tangannya menekan loceng di tepi pintu masuk itu. Salam diberi. Tapi debar di hati seakan tidak menentu pula. Debar untuk melihat gadis itu.

            Puan Suraya menjenguk ke tingkap apabila terdengar loceng rumah dibunyikan. Rasanya dia tahu siapa yang berkunjung ke rumahnya hari minggu itu. Pasti Faiz. Anak muda itu sudah memberitahunya dari awal lagi dan dia sendiri sudah menyiapkan beberapa juadah istimewa untuk menyambut kedatangan anak muda itu.

            Tepat tekaan Puan Suraya, kelihatan Faiz sedang berdiri di luar pagar rumahnya. Tampak kemas anak muda itu dengan t-shirt polonya. Nampak lebih santai. Ahh, pasti saja anak muda itu menitikberatkan penampilan diri, kerjayanya saja sudah seorang doktor!

            Pantas Puan Suraya membuka pintu, dia memang sudah bersiap dari tadi. Dia memakai jubah berwarna ungu dan bertudung senada dengan jubahnya. Irdina pun sudah diingatkan dengan kedatangan Faiz. Entah apa yang dibuat anak itu di tingkat atas pun Puan Suraya tak tahu! Tadi ada saja anak itu menolongnya di dapur, tapi tiba-tiba hilang pula! Anak itu memang pelbagai kerenahnya.

            “Hah, Faiz. Masuklah, senang tak cari rumah mak cik?” Sambut Puan Suraya ramah. Dia menghadiahkan senyuman buat anak muda itu. Langkah diatur ke arah pintu pagar dan dibuka kuncinya.

            “Alhamdulillah, senang juga mak cik. Guna waze je.” Balas Faiz sambil tergelak kecil. Zaman sekarang zaman teknologi. Teknologi yang memudahkan manusia. Tapi ada juga keburukan teknologi ni. Tapi keburukan dan kebaikan itu terpulang pada kita untuk menggunakannya.

            Zaman sekarang zaman manusia sangat terikat dengan dunia gadget. Pergi ke mana pasti telefon bimbit tak lekang di tangan. Dengan pelbagai applikasi dan media sosial yang sangat terikat dengan manusia. Gadget itu memang memudahkan tapi jika tak diurus sebaiknya akan ada juga mudaratnya.

            Lihat sahaja berapa ramai ibu bapa yang terlampau leka dengan gadget sampai anak di depan mata diabaikan? Anak kecil yang seharusnya diberi perhatian dan kasih sayang terpaksa pula ‘bersaing’ dengan gadget untuk meraih perhatian ibu bapa.

            Itu belum masuk lagi, bab berapa ramai pasangan yang curang dengan menggunakan gadget dan media sosial. Pasangan di depan mata, tak dilayan sewajarnya. Dan media sosial hari ini yang sangat menakutkan. Silap manusia lain habis dicanangnya satu dunia. Katanya biar satu dunia tahu kesilapan orang itu. Dunia viral katanya!

            Bagi Faiz, media sosial ini ada baik dan buruknya. Boleh juga jadi sebagai penaut ukhuwah dan boleh jadi juga sebagai pemecah ukhuwah. Lihat saja berapa ramai yang meluahkan rasa tak puas hati kepada pasangan, keluarga, sahabat hatta jiran sekalipun di media sosial. Padahal boleh saja mereka berbincang face to face berbanding mengutuk dan memerli di media sosial. Ahh betapa kadangkala semakin maju teknologi, semakin mundur akhlak dan ketamadunan manusia! Nampak seperti semakin maju, hakikatnya semakin mundur!

            “Ha, jemput masuk Faiz.” Kedengaran suara Puan Suraya menjemputnya masuk sekaligus mematikan lamunan Faiz.

            “Terima kasih mak cik sudi terima kunjungan Faiz.” Balasnya sambil tersenyum. Mujurlah Puan Suraya ini jenis yang meraikan tetamu. Faiz pun hairan dengan dirinya, entah sebab apa yang membuatkannya nekad sebegini.

            “Sama-sama, tetamu kan datang bawa rezeki. Nanti free bolehlah datang lagi.” Ramah Puan Suraya melayan anak muda itu.

            Mereka masuk ke dalam rumah, Faiz menebarkan pandangannya mencari sosok tubuh si gadis. Manalah gadis tu ya? Nak ditanya segan.

            “Jemput duduk dulu ya Faiz, mak cik panggil Dina jap. Entah apalah yang dibuatnya kat atas.” Kata Puan Suraya. Pening kepalanya dengan telatah anak yang sorang ini. Jangan dibantainya tidur sudah budak ni!

            “Irdina, kamu buat apa ni? Doktor Faiz tu dah datang dah.” Bebel Puan Suraya sambil menolak pintu bilik anak gadisnya itu.

            “Tengah pakai tudung ni ibu. Kejap lagi Dina turun, hidang air.” Balas Irdina, tangannya laju melilit tudung.

            “Ok ibu tunggu kat bawah, jangan lama sangat. Kan ada tetamu tu.” Ujar Puan Suraya mengalah. Dia mula melangkah ke tingkat bawah.

            Irdina tersenyum di hadapan cermin. Puas hati dengan penampilannya dia turun ke tingkat bawah. Air untuk tetamu dia dah buat dah sebentar tadi cuma tinggal hidangkan saja. Dessert pun dah tersedia.

            Irdina turun perlahan-lahan. Rasa lain macam pula walaupun dia dah kenal pun Doktor Faiz tu. Entah apa yang membuatkan doktor muda itu rajin untuk berkunjung ke rumahnya Irdina sendiri tak tahu. Nak eratkan silaturrahim agaknya.

            “Assalamualaikum doktor.” Irdina memberi salam. Kelihatan sosok tubuh pemuda itu sedang membelakanginya. Rancak berborak dengan ibu nampaknya!

            “Eh waalaikumsalam awak. Sihat ke? Dah ok yang luka hari tu?” Soal Faiz, dilihatnya gadis itu manis bertudung pink hari ini.

            “Alhamdulillah, sihat je doktor. Luka sikit je hari tu. Tapi fobia tu ada sikit. Hehe.” Ujar Irdina. Dan di atas meja sudah elok air yang dibuatnya tadi dihidangkan oleh ibunya. Alamak, dia lambat lagilah ni!

            “Ohh alhamdulillah, fobia tu insya-Allah lama-lama hilanglah tu.” Balas Faiz.

            “Insya-Allah doktor, kejap ya doktor. Saya ke dapur kejap ya doktor.” Irdina meminta diri. Ada lagi juadah yang harus dihidangkan untuk tetamunya itu. Lagipun Irdina segan pula nak berbual dengan doktor muda itu. Bukan dia kenal sangat dengan Doktor Faiz tu. Kiranya ke dapur ni adalah cara untuk elakkan dari bersembang dengan doktor tu pun ya jugak, mengelat kata orang!

            “Macam tulah Si Irdina tu Faiz. Kami berdua je kat rumah ni. Irdina tu memang manja orangnya. Anak tunggal.” Puan Suraya mula membuka cerita. Sudah dipanggilnya Faiz sahaja, lebih mesra seperti yang dipinta oleh anak muda itu.

            “Oh mak cik tinggal berdua je dengan Dina ya.” Tanya Faiz inginkan kepastian.

            “Haah, mak cik dengan suami lama dah pisah. Irdina tulah kawan mak cik. Kawan gaduh, kawan bermanja, haa Irdina tulah.”

            “Ohh..” balas Faiz ringkas. Patutlah Irdina nampak manja. Rupanya anak tunggal.

            “Dia tu baru habis belajar, masa kena ragut tu nak pergi cari kerjalah tu. Hah, sekarang dah fobia pulak. Haha.” Tertawa kecil Puan Suraya apabila mengingatkan telatah anak yang sorang itu.

Entah mengapa laju pula mulutnya bercerita perihal Irdina kepada Faiz. Selalunya dia jarang bercerita perihal anaknya itu kepada orang luar. Mungkin dia mulai selesa dengan pemuda itu.

“Biasalah tu mak cik. Memang biasa akan fobia sikit untuk kes ragut ni. Ambil masa, nanti ok lah tu. Mak cik sebenarnya saya ada hajat.” Ujar Faiz berterus terang. Faiz rasa inilah masa terbaik untuk dia berterus terang. Kalau kata orang, masih terlalu awal untuk dia membuat keputusan, tapi baginya benda baik takde sebab untuk dilengahkan.

            “Hajat apa Faiz?” Soal Puan Suraya ingin tahu. Dari nada anak muda itu, dia tahu hal yang akan dibincangkan serius.

            “Em macam ni mak cik. Sebenarnya saya nak mintak izin dengan mak cik untuk berkenalan dengan Irdina. Jika sesuai, untuk dijadikan isteri.” Direct to the point! Faiz ini orangnya memang tak pandai berkias.

            “Ehem..” Tak terluah kata yang keluar dari mulut Puan Suraya.

            Dan Irdina yang sudah mampir ke ruang tamu terus mati langkahnya! Terkejut.

            “Saya datang minta dengan cara baik untuk kenal dengan Dina, mintak izin dulu dari mak cik. Kalau mak cik izinkan barulah saya berkenalan dengan Irdina mak cik.” Ujar Faiz lagi. Melihat reaksi spontan Puan Suraya, dia tahu wanita itu terkejut.

            “Emm, kalau setakat nak kenal tu insya-Allah. Mak cik ok je, selagi Faiz dan Irdina tahu batas, tahu syariat mak cik izinkan.” Putus Puan Suraya.

            Anak muda di hadapannya bukan calang-calang orang. Seorang pemuda yang berani pastinya! Tapi jauh di sudut hati Puan Suraya dia jadi tertanya sendiri, atas dasar apa pemuda itu menyukai anaknya? Sudah lamakah pemuda itu mengenali Irdina sehingga nekad sebegini sekali. Dan dari mana asal pemuda itu, siapa keluarganya, siapa orang tuanya. Ahh banyak sebenarnya persoalan yang masih berbaki untuk ditanya nanti.

            Tapi Puan Suraya yakin Faiz serius dengan kata-katanya untuk berkenalan dengan Irdina. Pemuda itu datang dengan cara terhormat. Meminta izin darinya untuk berkenalan dengan Irdina. Sudah pasti pemuda itu memuliakan dia sebagai orang tua Irdina. Tentang perihal anak muda itu, akan diselidiki kemudian!

            Mendengar jawapan dari mulut ibunya, Irdina jadi terkedu lagi. Apa?? Berkenalan dengan Faiz dan kalau sesuai dia kahwin dengan Faiz?? Ohh drama apakah ini? Pengsan!!


“Dan kahwinlah orang-orang yang masih membujang di antara kamu dan juga yang layak (berkahwin) daripada hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberi kemampuan kepada mereka dengan kurniaan-Nya. Dan Allah Maha Luas (pemberiannya) lagi Maha Mengetahui.” ~An Nur: 32~

2 comments:

  1. Best..menarik.. smbung pls... hrp sgt bleh smbung bab sterusnya..

    ReplyDelete
  2. Yeah betoiiii . Bestttt . Sambung la akakkkkk . Hehe

    ReplyDelete