Sunday 14 April 2013

Sambungan Pengihrahan Cinta Bab 3





Malam itu usai sahaja pulang dari menemani ibunya berniaga di pasar malam, Humaira duduk termenung di dapur rumah papan itu. Dia mengimbau kembali kenangan lalunya di rumah sederhana itu. Walaupun keluarga mereka sederhana tapi mereka cukup segalanya. Arwah abahnya hanya pemandu lori, tidak bergaji besar. Tapi arwah abahnya punya jiwa yang sangat besar. Sikap positif dan bersangka baik dengan Allah. Argghhh rindu kepada arwah abah datang lagi.

“Kak Mia.. ibu panggil” adik bongsunya memanggil. Tersentak kembali dari dunia lamunannya. Humaira tersenyum memandang adik bongsunya, semakin meningkat dewasa.

“Ohh, thanks Ziqah..” Humaira mengangkat punggung berlalu dari dapur. Dia menyaingi langkah adik bongsunya, Haziqah.

“Ya ibu..” sapanya lembut, dilihat ibunya ralit membaca buku. Argghh ibu walaupun lelah membanting tulang tapi masa dengan ilmu tetap ada.

“Mari duduk dekat dengan ibu, kita sembang-sembang” Puan Hanis sudah menepuk lembut sofa di sebelahnya.

Humaira menghayun langkah di sofa ruang tamu rumah. Begitulah sikap ibu, sentiasa mencari masa untuk anak-anak walaupun dirinya sibuk mencari rezeki selepas kematian arwah abah. Tapi bagaimana dahulu dirinya tega menyakiti hati ibu? Arggh kenangan itu, takkan pernah terhapus dalam lipatan memori.

“Ibu...” panggil Humaira sayu. Hati mana yang tidak sayu melihat wajah ibu yang kian dimamah usia? Wajah yang kepenatan mencari rezeki buat anak-anak.

“Ya sayang” sahut Puan Hanis, dia menutup buku yang dipegangnya, mahu memberi perhatian buat anak gadis yang kian matang dipandangannya.

“Mia rindu ibu, rindu arwah abah” sayu bicara itu yang ditutur, sungguh dia rindu pada seraut wajah yang tenang. Wajah yang tenang tapi penuh ketegasan mendidik dia dan adik-adik.

Puan Hanis mengusap perlahan rambut puteri sulungnya, dia juga rindukan arwah suaminya. Hampir dua puluh tahun hidup bersama. Jatuh, bangun, gembira duka mereka lalui bersama. Sama-sama membesarkan tiga orang puteri bersama.

“Sayang, setiap yang hidup pasti merasai mati. Setiap pertemuan pasti ada perpisahan” nasihat lembut dituturkan buat anak yang kian meningkat dewasa.

“Tapi Mia kesal dengan sejarah hidup Mia dulu. Mia tak mampu jadi anak yang membahagiakan arwah abah” luah Humaira kesal.

“Semalam hanya sejarah Mia, hari ini kenyataan dan esok adalah impian. Hidup ini kita diberi pilihan, sama ada bangkit dari kesilapan semalam ataupun terus mengulangi kesilapan semalam. Pilihan sama ada kita mahu ke syurga atau neraka, terpulang..” hikmah nasihat yang diberikan Puan Hanis.

Humaira mula menyapu air mata yang kian mengalir. Ya, hidup ini pilihan. Kita yang memilih jalan hidup kita. Kata orang perjalanan hidup ini ibarat sebuah buku, muka surat hadapan dan terakhir ditulis Allah. Manakala pertengahan buku itu kita yang mencorakkannya sendiri.

“Mia tak mampu bahagiakan arwah abah..”

Puan Hanis menarik nafas, menasihati anak perlu kena caranya. Ibarat menarik rambut dalam tepung.

“Siapa kata Mia tak mampu bahagiakan arwah abah? Hijrah Mia dari peristiwa semalam mesti buat abah tersenyum. Anak solehah adalah aset ibu dan abah bila kami dah takde nanti” Puan Hanis tersenyum. Teringat dia pada sabda Rasulullah:

“Apabila mati anak Adam itu, maka terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara iaitu ilmu yang dimanfaatkan, sedekah jariah dan doa anak yang soleh dan solehah”

“Hidup ini ujian Mia, nak dengar satu kisah?” pancing Puan Hanis, walaupun dia bukanlah ibu yang terbaik dalam mendidik anak-anak tentang Islam tapi dia takkan pernah berhenti untuk melakukan yang terbaik dalam mentarbiyah anak-anaknya tentang agama syumul ini.

“Kisah apa ibu?” soal Humaira ingin tahu, dia merebahkan kepalanya di paha si ibu. Sungguh hatinya tenang memandang wajah ibu.

“Kisah dua orang nelayan, seorang penyembah berhala dan seorang lagi hamba yang taat pada Allah” terang Puan Hanis ringkas.

“Menarik” ringkas komen Humaira.

“Ketika menebar jala, sahabat yang menyembah berhala akan menyebut nama berhalanya. Manakala sahabat yang taat Allah akan menyebut bismillah. Tetapi apabila diangkat jalanya, nak tahu nelayan mana yang akan dapat ikan lebih banyak?” soal Puan Hanis memancing minat Humaira supaya terus bersemangat mendengar ceritanya.

“Mestilah nelayan yang menyebut nama Allah” balas Humaira separuh yakin.

“Kurang tepat jawapan Mia, nelayan yang menyembah berhala itu mendapat hasil yang banyak berbanding nelayan yang menyembut nama Allah”

“Aik, kenapa macam tu?” soal Humaira berbaur keliru dan ingin tahu.

“Sabarlah sayang, ibu tak habis cerita lagi ni”

Humaira hanya tersengih.

“Maka, malaikat pun bertanya kepada Allah 'Ya Allah apakah yang sudah berlaku? Hamba-Mu yang menyekutukan-Mu, Engkau beri dia rezeki yang banyak. Sedangkan hamba-Mu yang menyebut nama-Mu, Engkau berikan dia rezeki yang sedikit' dan Allah menjawab 'Yang menyekutukan Aku, tempatnya sudah pasti neraka. Apalah sangat rezeki yang akan hancur itu sekiranya rezeki Aku berikan kepadanya? Tetapi, Aku mahu menguji kebenaran iman hamba-Ku yang beriman itu. Aku mahu berikannya syurga' manis bukan pengaturan Allah itu?” cerita Puan Hanis.

Allah, tersentak hati Humaira. Siapalah kita mahu mempersoalkan ujian Allah. Sedangkan udara yang kita bernafas hari ini pinjaman dari-Nya. Semua milik-Nya, kita manusia yang tak punya apa-apa.

Teringat pula Humaira pada firman Allah dalam surah al-Ankabut ayat 2 yang bermaksud:

“Adakah manusia beranggapan Kami akan membiarkan mereka berkata 'Kami sudah beriman, sedangkan mereka itu belum diuji?'.”

Malam itu dia tersentak lagi dengan nasihat si ibu. Allah selama ini Engkau dekat, cuma aku yang meminggir. Masih adakah rahmat-Mu Tuhan?

'Aku hanya manusia biasa, pandanglah aku dengan rahmat-Mu, peluklah aku dengan maghfirah-Mu dan didiklah aku dengan kasih-Mu' sayu hati berbicara dengan Dia yang satu sambil air mata kian mengalir deras. Ohh, Tuhanku...



No comments:

Post a Comment