Saturday 13 April 2013

Penghijrahan Cinta 3





BAB 3

Petang Jumaat itu Humaira pulang ke kampungnya di Batu Pahat, Johor. Rindu mahu menatap wajah ibu yang semakin dimamah usia dan rindu dengan telatah adik-adiknya yang mencuit hati. Humaira akui walaupun hidup mereka sekeluarga tidak semewah mana tapi dia bahagia dengan kehidupan mereka. Penuh dengan kesederhanaan. Tiada yang kurang dan tiada pula yang lebih.

Humaira tahu sebagai anak sulung dalam keluarga, tanggungjawabnya terhadap keluarga bukanlah suatu yang mudah. Semua tanggungjawab bapanya seakan-akan terlepas ke bahunya kini. Kehilangan arwah abahnya memberi kesan yang sangat mendalam kepada dirinya. Sejak kehilangan arwah abahnya dua tahun lalu, dia nekad untuk berubah. Berubah ke arah insan yang lebih baik dan bertanggungjawab.

“Assalamu'alaikum ibu..” sapa Humaira sebaik langkahnya memasuki rumah papan yang sederhana besar itu. Dia mencari kelibat ibunya, ibu yang banyak berkorban membesarkan dia dan adik-adiknya.

Laju langkah Humaira mencari susuk tubuh ibunya di dapur. Rindu mahu memeluk tubuh tua itu, rindu mahu berkongsi cerita dengan ibunya. Ohh ibu, memang takkan ada gantinya di dunia.

“Ibu...” dipeluknya tubuh ibu yang 'khusyuk' memasak di dapur. Haishh ibu ni, kita balik jauh-jauh kuali dan periuk jugak yang dapat perhatian lebih ya? Huhu..

“Allahuakhbar, astaghfirullah” hampir telepas senduk digenggaman akibat terperanjat. Puan Hanis beristighfar perlahan.

“Haishh anak ibu ni, tak reti bagi salam?” tegur Puan Hanis lembut. Dia menyambut huluran tangan anak sulungnya itu.

“Mia dah bagi salam tadi ibu, ibu kalau dah memasak mana nak ingat dekat Mia lagi” rajuk Humaira. Damia Humaira anak sulung yang kadang-kalanya terlebih manja seperti anak bongsu.

Puan Hanis hanya tersenyum, dikecilkan api dapur gasnya. Dia menarik tangan Humaira menuju ke meja makan.

“Mana boleh ibu lupa anak sulung ibu ni, ishh kamu merajuk tak comel langsung” sakat Puan Hanis. Dia faham benar kerenah anaknya yang sorang ni. Rajuk Humaira takkan pernah lama. Mungkin pengalaman hidup yang mematangkan sikap Humaira.

“Ibu masak apa petang ni? Sedapnya bau..” tanya Humaira. Memang rajuknya takkan pernah lama.

“Asam pedas ikan pari. Kejap lagi ibu nak keluar, nak berniaga dekat pasar malam. Nak ikut?” tanya Puan Hanis, dikerlingnya jam di dinding, sudah menginjak ke pukul empat petang.

“Mestilah nak ikut.. lepas asar kan ibu?” soal Humaira pula. Walaupun keletihan pulang dari universiti tapi bukanlah alasan untuk dia tidak membantu ibunya berniaga. Bahkan bagi Humaira satu kepuasan baginya jika dapat membantu meringankan beban ibunya. Mungkin fitrah sebagai anak sulung, dia jadi terbiasa begitu.

“Ibu, adik-adik mana?” Humaira meninjau kelibat adik-adiknya. Tiada, ruang dapur itu kosong. Adiknya Haikal dan Haziqah langsung tidak kelihatan di ruang dapur itu.

“Ada, dekat bilik masing-masing. Tidur agaknya. Kamu pergi berehat dulu, bersihkan diri. Dah masam dah anak ibu ni..” usik Puan Hanis lagi. Dia dan Humaira, kalau tidak bergurau itu sesuatu yang mustahil.

“Ok ibu, Mia naik atas dulu ibu” pinta Humaira, tangannya mencapai beg bajunya. Kaki melangkah perlahan menaiki tangga kayu menuju ke bilik di tingkat atas. Rumah papan yang sederhana itu sahajalah peninggalan arwah abah.

Puan Hanis hanya memerhati langkah Humaira. Hatinya dipagut sendu, wajah Humaira persis wajah arwah suaminya. Senyuman, pandangan matanya dan sikap ceria milik Humaira persis milik arwah suaminya. Humaira anak sulung dalam keluarga, anak yang banyak berkorban demi keluarga. Dahulu, anak itu jugalah yang banyak merisaukan hati dia dan arwah suaminya, Encik Sulaiman. Tapi mujurlah anak itu sudah sedar dari kesilapan dirinya. Mujurlah anak itu terselamat dari dunia yang penuh dengan tipu daya. Mujurlah anak itu masih dalam rahmat Allah. Alhamdulillah..

Puan Hanis mengesat air matanya yang mula bertakung, ya hidup ini sebagai medan ujian. Ujian tanda Ilahi sayang, ujian tanda Ilahi kasih, ujian tanda Ilahi peduli akan dirinya. Diuji hebat kehilangan tempat mereka berpaut dan bergantung selama ini membuatkan dirinya semakin cekal membesarkan tiga orang anak sendirian. Ujian yang membuatkan dirinya sedar, dunia ini hanya sementara. Ujian yang membuatkan dirinya yang selama ini terkapai-kapai dengan dunia, kembali mencari secebis maghfirah-Nya.

Humaira melangkah perlahan, dia menolak pintu kayu biliknya. Bilik yang banyak mengukir kenangan. Kenangan manis dan pahit buat dirinya. Dia yang dulu hanyut dengan dunianya sendiri, dengan cintanya yang hanya mengikut kata hati, bukan cinta yang berlandas syariat Ilahi. Ya Allah, masih adakah rahmat-Mu untuk hamba yang penuh dengan lumpur dosa ini? Masih adakah rahmat dan belas kasihan-Mu lagi? Hatinya merintih sedih.

Mujurlah diri ini tak terus hanyut dengan cinta lelaki, mujurlah maruah ini bukan lagi di kaki lelaki. Hidayah Allah itu datang menyapa di saat dia kehilangan abah tersayang. Walaupun perit ujian yang dilalui, namun ujian itu jugalah yang menyedarkan dia dari terus hanyut dengan cinta yang sia-sia.

Humaira akhirnya terduduk di katil. Walaupun sudah hampir tiga tahun peristiwa itu, tapi mana mungkin luka di hati mampu sembuh dengan masa tiga tahun itu. Dia menarik perlahan laci di meja kecil yang terletak di tepi katil. Dia menarik perlahan diari kecil yang berwarna ungu itu. Diari yang di dalamnya tersimpan seribu kenangan. Diari yang di dalamnya penuh penyesalan.

Air mata yang semakin lebat di tubir mata dibiarkan saja mengalir. Air mata penyesalan kerana peristiwa hitam tiga tahun lalu. Dia sedar air mata yang mengalir takkan pernah menghapuskan kenangan pahit lalu, tapi biarlah air mata ini terus mengalir.

Humaira membuka perlahan diari kecil itu, diari yang tersimpan pelbagai rahsia. Rahsia yang hanya diketahui keluarganya. Kalau Syuhada mengetahui kenangan silamnya, mahukah lagi gadis itu bersahabat dengannya? Mahukah lagi gadis itu sentiasa di sisinya? Sungguh dia seperti tidak layak bersahabat dengan gadis sebaik Syuhada, gadis yang tarbiyah hebat mengalir dalam jiwanya. Sedangkan dia? Syuhada ibarat permata berkilau yang jauh tersembunyi di dasar lautan dan dia hanyalah rumput-rumput yang disaluti lumpur di pinggir jalan.

Humaira menutup kembali diari itu, tak sanggup rasanya mahu membaca kejahilannya dahulu. Kejahilan yang hampir-hampir memusnahkan hidupnya. Yang mengheret sekali duka ibu dan abahnya.

'Abah, maafkan Mia.. Mia dah kecewakan abah' rintih, sayu hatinya saat itu. Sungguh dia gagal menjadi anak yang terbaik buat abahnya dahulu, abah yang menatang dirinya dengan penuh kasih sayang. Dia gagal menjadi anak kebanggaan abah ! Kerana kegagalannya dahululah, dia bangkit mahu menjadi anak yang terbaik untuk ibunya.

“Mia.... dah asar ni, solat dulu. Nanti turun bawah ya?” suara ibu dari arah dapur mematikan khayalannya. Argghh, kenangan dahulu takkan pernah terhapus dari lipatan memorinya. Dia masih dibelenggu kesilapan semalam. Masih adakah lagi rahmat kasih-Mu Tuhan?

“Baik ibu” akur Humaira perlahan.



Wafiq hanya memandang kosong taman mini milik mamanya. Petang itu dia pulang ke rumah setelah hampir sebulan dia di kampus. Sedar tak sedar sudah final year dia meneruskan pengajian. Semester hadapan dia sudah mula praktikal. Bidang kejuruteraan yang diminatinya dijadikan pilihan untuk kerjayanya nanti.

Dia mahu menjadi muslim yang hebat buat Pencipta, dia mahu sumbangkan sesuatu buat ummah. Dan dia mahu jadi anak yang terbaik buat mama dan papanya. Dia mahu menjadi anak yang mampu membahagiakan orang tuanya.

“Wafiq, jauh termenung..” mamanya, Puan Wafiyyah menyapa.

“Err maa.. takdelah. Saja nak restkan minda kejap” Wafiq hanya tersenyum memandang wajah mamanya. Wajah yang tenang, wajah yang selalu dirindui, wajah yang selalu dicari apabila dirinya dihimpit masalah.

“Semester depan kamu dah praktikal kan? Dah dapat tempatnya?” soal Puan Wafiyyah prihatin. Memandang satu-satunya mujahid dalam keluarganya.

“Belum lagi ma, Wafiq tengah buat research tentang syarikat mana yang ok. Nanti baru Wafiq buat resume” balas Wafiq.

“Baguslah kalau macam tu. Ni kamu ni, tak nak kenalkan menantu dekat mama? Study pun dah nak habis kan?” direct Puan Wafiyyah bertanya. Sebenarnya dia bukanlah mahu sangat bermenantu, cuma dia ingin mencungkil rahsia anaknya.

Wafiq tersedak. Air liur ditelan kesat, haishh mama ni. Ke situ pulak dia. Menantu? Calon pun takde lagi.

“Ehem, menantu ma?” soal Wafiq.

“Ha'ah menantu, anak mama semua dah kahwin. Tinggal kamu je lagi” selamba Puan Wafiyyah menyoal.

Wafiq menggaru kepalanya yang tidak gatal. Ermm memanglah anak mama semua dah kahwin, tinggal dirinya saja lagi. Akak sulungnya, Aina'a sudah lama mendirikan rumah tangga dan kakak keduanya Athirah juga baru selamat mendirkan rumah tangga.

“Err, tapi mama. Wafiq calon pun takde lagi” Wafiq sudah tersengih. Itulah hakikatnya, mungkin kerana dia sibuk belajar dia tidak terfikir mencari calon. Bagi dirinya, dia masih muda. Masih banyak yang belum diterokainya. Dia mahu berkahwin apabila dia sudah ada apa yang dihajatinya. Kerjaya antara salah satu daripadanya.

“Kalau dah ada calon, bawak jumpa mama. Mama tak suka anak mama usung anak dara orang” Puan Wafiyyah sudah mengeluarkan arahannya.

Wafiq hanya tertawa kecil, habislah siapa yang bakal menjadi isterinya. Mesti mama soal kaw-kaw punya. Hehe..

“Ma, jangan risaulah. Ada calon, mama jadi tempat rujukan pertama Wafiq” gurau Wafiq. Ha'ah kan, umur dah dekat dua puluh empat tahun, tapi calon pun dia takde lagi. Kawan perempuannya bukan ramai. Bidang engineering di universitinya kurang pelajar perempuan. Calon menantu untuk mama dia takde, tapi musuh perempuan dia ada. Tiba-tiba mindanya teringat pula gadis yang melanggarnya tempoh hari.

“Menantu takde, musuh ada ma..” bisiknya perlahan, lebih kepada dirinya sendiri.

“Apa dia??” soal Puan Wafiyyah.

“Hah, takde apa-apalah ma..” Wafiq sudah tayang wajah innocentnya.

“Kalau ada, bawak jumpa mama” lagi-lagi itu yang dinasihatkan Puan Wafiyyah. Dia tidak mahu anaknya culas menjaga perhubungan. Kalau berkenan, nikah saja.

“Insya-Allah ma. Papa lambat lagi ke balik?” tanya Wafiq mengalih topik. Haishh mama ni dah teringin sangat ke nak bermenantu? Masalahnya aku tak teringin lagi nak beristeri, huhu..

“Kejap lagi baliklah papa kamu tu. Malam nanti Kak Aina'a kamu nak datang. Mama pun rindu dekat cucu mama tu” Puan Wafiyyah sudah membuka cerita tentang anak sulungnya pula.

Wafiq hanya tersenyum, jangan kata mama. Dia pun rindukan anak Kak Aina'a, si Hakimi. Lama tak jumpa budak tembam tu.

“Wafiq pun rindu Hakimi” balas Wafiq. Memang dia sukakan kanak-kanak. Nasib baik ada anak buah, nak ada anak sendiri memang taklah kan?

“Tulahh, mama suruh nikah tak mahu. Kalau tak bertambah cucu mama” usik Puan Wafiyyah.

Wafiq hanya menggeleng kepalanya perlahan, haishhh mama ni tak habis lagi rupanya topik ni. Pelik Wafiq dengan sikap mamanya, kalau mama orang lain tak kasi anak mereka kahwin awal, berbeza pula dengan mamanya ni. Lagi galakkan ada.

“Hishh mama ni, ke situ pulak dia. Wafiq bukan tak nak kahwin tapi tunggulah Wafiq dah kerja dulu. Ada duit nak sara anak bini”

Puan Wafiyyah tersenyum.

“Mama saja je nak test kamu” ujar Puan Wafiyyah, keningnya diangkat.

Wafiq hanya mengurut dada, hishh mama ni. Nak test pun testlah hal lain. Bikin cuak saja mama ni. Huhu.. Kalau dia cari calon menantu untuk mama, agaknya siapa yang sesuai eh?


Malam itu usai sahaja pulang dari menemani ibunya berniaga di pasar malam, Humaira duduk termenung di dapur rumah papan itu. Dia mengimbau kembali kenangan lalunya di rumah sederhana itu. Walaupun keluarga mereka sederhana tapi mereka cukup segalanya. Arwah abahnya hanya pemandu lori, tidak bergaji besar. Tapi arwah abahnya punya jiwa yang sangat besar. Sikap positif dan bersangka baik dengan Allah. Argghhh rindu kepada arwah abah datang lagi.

“Kak Mia.. ibu panggil” adik bongsunya memanggil. Tersentak kembali dari dunia lamunannya. Humaira tersenyum memandang adik bongsunya, semakin meningkat dewasa.

“Ohh, thanks Ziqah..” Humaira mengangkat punggung berlalu dari dapur. Dia menyaingi langkah adik bongsunya, Haziqah.

“Ya ibu..” sapanya lembut, dilihat ibunya ralit membaca buku. Argghh ibu walaupun lelah membanting tulang tapi masa dengan ilmu tetap ada.

“Mari duduk dekat dengan ibu, kita sembang-sembang” Puan Hanis sudah menepuk lembut sofa di sebelahnya.

Humaira menghayun langkah di sofa ruang tamu rumah. Begitulah sikap ibu, sentiasa mencari masa untuk anak-anak walaupun dirinya sibuk mencari rezeki selepas kematian arwah abah. Tapi bagaimana dahulu dirinya tega menyakiti hati ibu? Arggh kenangan itu, takkan pernah terhapus dalam lipatan memori.

“Ibu...” panggil Humaira sayu. Hati mana yang tidak sayu melihat wajah ibu yang kian dimamah usia? Wajah yang kepenatan mencari rezeki buat anak-anak.

“Ya sayang” sahut Puan Hanis, dia menutup buku yang dipegangnya, mahu memberi perhatian buat anak gadis yang kian matang dipandangannya.

“Mia rindu ibu, rindu arwah abah” sayu bicara itu yang ditutur, sungguh dia rindu pada seraut wajah yang tenang. Wajah yang tenang tapi penuh ketegasan mendidik dia dan adik-adik.

Puan Hanis mengusap perlahan rambut puteri sulungnya, dia juga rindukan arwah suaminya. Hampir dua puluh tahun hidup bersama. Jatuh, bangun, gembira, duka mereka lalui bersama. Sama-sama membesarkan tiga orang anak bersama.

“Sayang, setiap yang hidup pasti merasai mati. Setiap pertemuan pasti ada perpisahan” nasihat lembut dituturkan buat anak yang kian meningkat dewasa.

“Tapi Mia kesal dengan sejarah hidup Mia dulu. Mia tak mampu jadi anak yang membahagiakan arwah abah” luah Humaira kesal.

“Semalam hanya sejarah Mia, hari ini kenyataan dan esok adalah impian. Hidup ini kita diberi pilihan, sama ada bangkit dari kesilapan semalam ataupun terus mengulangi kesilapan semalam. Pilihan sama ada kita mahu ke syurga atau neraka, terpulang..” hikmah nasihat yang diberikan Puan Hanis.

Humaira mula menyapu air mata yang kian mengalir. Ya, hidup ini pilihan. Kita yang memilih jalan hidup kita. Kata orang perjalanan hidup ini ibarat sebuah buku, muka surat hadapan dan terakhir ditulis Allah. Manakala pertengahan buku itu kita yang mencorakkannya sendiri.

“Mia tak mampu bahagiakan arwah abah..”

Puan Hanis menarik nafas, menasihati anak perlu kena caranya. Ibarat menarik rambut dalam tepung.

“Siapa kata Mia tak mampu bahagiakan arwah abah? Hijrah Mia dari peristiwa semalam mesti buat abah tersenyum. Anak solehah adalah aset ibu dan abah bila kami dah takde nanti” Puan Hanis tersenyum. Teringat dia pada sabda Rasulullah:

“Apabila mati anak Adam itu, maka terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara iaitu ilmu yang dimanfaatkan, sedekah jariah dan doa anak yang soleh dan solehah”

“Hidup ini ujian Mia, nak dengar satu kisah?” pancing Puan Hanis, walaupun dia bukanlah ibu yang terbaik dalam mendidik anak-anak tentang Islam tapi dia takkan pernah berhenti untuk melakukan yang terbaik dalam mentarbiyah anak-anaknya tentang agama syumul ini.

“Kisah apa ibu?” soal Humaira ingin tahu, dia merebahkan kepalanya di paha si ibu. Sungguh hatinya tenang memandang wajah ibu.

“Kisah dua orang nelayan, seorang penyembah berhala dan seorang lagi hamba yang taat pada Allah” terang Puan Hanis ringkas.

“Menarik” ringkas komen Humaira.

“Ketika menebar jala, sahabat yang menyembah berhala akan menyebut nama berhalanya. Manakala sahabat yang taat Allah akan menyebut bismillah. Tetapi apabila diangkat jalanya, nak tahu nelayan mana yang akan dapat ikan lebih banyak?” soal Puan Hanis memancing minat Humaira supaya terus bersemangat mendengar ceritanya.

“Mestilah nelayan yang menyebut nama Allah” balas Humaira separuh yakin.

“Kurang tepat jawapan Mia, nelayan yang menyembah berhala itu mendapat hasil yang banyak berbanding nelayan yang menyembut nama Allah”

“Aik, kenapa macam tu?” soal Humaira berbaur keliru dan ingin tahu.

“Sabarlah sayang, ibu tak habis cerita lagi ni”

Humaira hanya tersengih.

“Maka, malaikat pun bertanya kepada Allah 'Ya Allah apakah yang sudah berlaku? Hamba-Mu yang menyekutukan-Mu, Engkau beri dia rezeki yang banyak. Sedangkan hamba-Mu yang menyebut nama-Mu, Engkau berikan dia rezeki yang sedikit' dan Allah menjawab 'Yang menyekutukan Aku, tempatnya sudah pasti neraka. Apalah sangat rezeki yang akan hancur itu sekiranya rezeki Aku berikan kepadanya? Tetapi, Aku mahu menguji kebenaran iman hamba-Ku yang beriman itu. Aku mahu berikannya syurga' manis bukan pengaturan Allah itu?” cerita Puan Hanis.

Allah, tersentak hati Humaira. Siapalah kita mahu mempersoalkan ujian Allah. Sedangkan udara yang kita bernafas hari ini pinjaman dari-Nya. Semua milik-Nya, kita manusia yang tak punya apa-apa.

Teringat pula Humaira pada firman Allah dalam surah al-Ankabut ayat 2 yang bermaksud:

“Adakah manusia beranggapan Kami akan membiarkan mereka berkata 'Kami sudah beriman, sedangkan mereka itu belum diuji?'.”

Malam itu dia tersentak lagi dengan nasihat si ibu. Allah selama ini Engkau dekat, cuma aku yang meminggir. Masih adakah rahmat-Mu Tuhan?

'Aku hanya manusia biasa, pandanglah aku dengan rahmat-Mu, peluklah aku dengan maghfirah-Mu dan didiklah aku dengan kasih-Mu' sayu hati berbicara dengan Dia yang satu sambil air mata kian mengalir deras. Ohh, Tuhanku...

No comments:

Post a Comment